29 Mac 2012

kisah Pengalaman lucu jadi Majistrate - cerita En zabidi lagi

Sebelum ini aku ada kongsi pasal cerita pengalaman Tuan Zabidi ini kan,  yang ini ada lagi satu cerita yang kelakar. Memang aku ketawa terbahak-bahaklah baca cerita tuan zabidi ni. Baca dari episod pertama lagi dah lucu, yang menariknya ini semua pengalaman betul beliau, bila digarap dengan bahasa dan ayat yang betul cerita ni sangat menarik dibaca. Ini kira koleksi kedua cerita pengalaman jadi Majistrate Tuan Zabidi. Bahagian pertama dulu aku dah simpan yang nie pun aku copy paste ke word, tapi tak cukup lagi episodnya. Ada sesiapa yang nak baca ke cerita ni?..tinggalkan email nanti aku boleh forwardkan kalau dah complete, yang nak terjah sendiri FB tuan zabidi pun boleh pergi sini

ini cerita episod 10
Pengalaman lucu jadi Majistrate. Kisah di rumah S/U MB KELANTAN (10)

Sambung…


Empat lelaki sedang berdiri ke arah kiblat yang bukan menghala ke arah Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat islam. Kiblat yang pada saya hanya menghala ke arah pantai peranginan yang ketika itu dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi. Mereka semua sedang menungggu arahan dari saya untuk memulakan solat maghrib pada jam 5.30 petang di porch perkarangan rumah en Ibrahim. 3 lelaki penagih dadah hanya memakai kain pelaikat milik en Ibrahim tanpa baju.


Dan kami semua bakal solat maghrib tanpa wudhuk.


“Siapa nak azan ni?” Tanya saya pada ketiga-tiga lelaki penagih dadah itu. Mereka hanya berdiri atas sejadah tunduk alim dengan kedua belah tangan mereka diletakkan dalam keadaan bersilang sama saperti jemaah surau berdiri penuh sompan santun sedang menyanyikan selawat nabi sempena sambutan perayaan Maulidul Rasul. Melihat mereka senyap saya memandang ke arah En Ibrahim. En Ibrahim faham saya menyuruh dia melaungkan azan.


“Allahuakhbar Allah hu Akhbar!......” En Ibrahim melaungkan azan.


Seorang pakcik tua yang kebetulan sedang menunggang basikal di luar pagar berhenti mengayuh basikal bila dia terdengar suara azan itu. Cucunya yang berumur sekitar 7 tahun yang membonceng dibelakang turun dari basikal. Mereka menghampiri pagar rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku. Pakcik tua itu pelik kenapa azan dilaungkan di porch pada waktu itu. Azan di luar waktu solat kebiasaannya hanya dilaungkan antaranya jika ada kebakaran. Pakcik itu mungkin menyangka ada kebakaran sedang berlaku di rumah en Ibrahim. Tapi tidak ada asap yang keluar malah tanda-tanda rumah itu sedang terbakar juga tidak ada. Pakcik tua bersama dengan cucunya itu memerhati pelik dari luar pagar.


Selesai saja azan, en ibraham terus qamat.


“Luruskan sah, betulkan sah” kata saya sebelum memulakan solat.


Semua mereka ikut arahan saya saperti lagak perbarisan tentera yang sedang membetulkan barisan. En Ibrahim jelas nampak sedang cuba menahan ketawanya. Dia mungkin terasa lucu kerana akan mengikut saya bersolat dengan tiga penagih dadah yang hanya memakai kain pelaikat tanpa wudhu.


Saya menghala ke arah kiblat Pantai Cinta Berahi untuk mula mengimamkan solat ‘maghrib’.


“Usalli fardhal magribihi……..Allahuakhbar”


“Allahuakhbar!” Makmum mengikut dari belakang.


“Bismllahirrahmanirahim, Alhamdulillah hirabbil Alamin….Arrahmanirrahim…..” saya membaca surah al fatihah kuat sama saperti solat maghrib dan isyak yang biasa dilakukan di surau atau masjid. “Aaaaaaammmmmmmiiiiiiiin…..”


“Aaaaaaammmmmmmiiiiiiinnnnnnnnnnn” makmum mengaminkan fatihah yang saya baca.


Pakcik tua bersama cucunya masih tercegat di luar pagar memerhatikan penuh minat. Dua tiga orang penduduk kampong yang kebetulan lalu depan pagar rumah itu juga berhenti untuk melihat apa yang berlaku. Kelihatan kemudiannya mereka berbual bertanyakan sesuatu pada pakcik tua bersama cucunya itu. Tidak jelas kedengaran apa yang mereka bualkan. Tapi saya dapat meneka mereka tertanya-tanya tentang solat apa yang sedang kami lakukan apatah lagi waktu solat maghrib masih jauh lagi. Apatah lagi saya membaca Fatihah dengan nada kuat saperti dalam solat maghrib dan isyak.


Rakaat kedua.


“Bismillah hirrahmannirahim, Alhamdulillah hirabbil Alamin…….” saya membaca fatihah pada rakaat kedua hingga habis. “Aaamiiiiiiiiinnnnnnnnn……”


“Aaaaaaaammmmmmmiiiinnnnnnnnn” makmum menyahutnya.


Ketika saya membaca ayat lazim selepas bacaan fatihah itu, kumpulan penduduk kampong yang berdiri bersama pakcik tua dengan cucunya itu sudah membesar. Kini sudah ada hampir 10 orang berkumpul di luar pagar. Semuanya pelik melihat solat ‘magrib’ kami itu.


Rakaat ketiga.


Isteri en Ibrahim dan pihak polis masih tidak kelihatan. Saya meneruskan solat ‘maghrib’ dengan harapan mungkin pihak polis akan tiba pada saat-saat akhir rakaat ketiga.


Masuk rakaat ketiga dan terakhir.


“Mana polis ni?” Bisik hati saya ketika itu. “Dah rakaat terakhir dah ni”.

Ketika sujud akhir, saya sujud agak lama dengan harapan polis akan tiba. Tapi masih tidak kunjung tiba. Dalam sujud itu apa yang saya dengar hanya suara-suara orang kampong berdiri di pagar luar rumah yang berbual sesama mereka bertanyakan solat apa yang sedang kami lakukan di porch perkarangan rumah banglo en. Ibrahim itu.

Menyedari terlalu lama bersujud mungkin akan menyebabkan ketiga penagih dadah itu pening kepala dan mufarakah saya bingkas bangun. Bukan untuk menamatkan solat ‘magrib’ itu dengan tiga rakaat tapi bangun semula mengimamkan solat ‘maghrib’ itu untuk rakaat ke empatnya.


“By time”.


Istilah yang biasa digunakan oleh para peguam di mahkamah jika mereka mahu menangguhkan perbicaraan sebagai strategi melenggah-lengahkan keputusan mahkamah jika mereka tau tidak akan menang dalam kes mereka. Saya selalu memarahi para peguam jika tektik ‘by time’ itu digunakan untuk melambat atau sengaja mahu menagguhkan bicara di mahkamah saya. Tapi kali ini saya ini terpaksa guna pakai tektik ‘by time’ itu sementara menunggu isteri en Ibrahim kembali bersama pihak polis.


Rakaat ke empat.


“Bismlllah hirrahkamnirrahim, Alhamdulillah hirabbil Alamin” Saya membaca fatihah dengan suara kuat sama saperti dalam rakaat pertama dan kedua tadi.“Aaaaaaaammmmmmmiiiiiinnnnn…”


“Aaaaaaammmmmmiiiiiiiiiiiinnnnnnn….” makmum ikut di belakang. Kedengaran gelak kecil en Ibrahim sedikit terkeluar kerana menahan ketawa. Dia mungkin mula terasa lucu dengan apa yang sedang dialaminya.


Maghrib rakaat ke empat.


Ketika membaca surah lazim selepas tamat bacaan fatihah, mata saya tidak tunduk melihat ke arah tempat sujud di atas sejadah. Tapi mata saya melilau mencari kelibat isteri en Ibrahim. Masih tidak kelihatan.


Masuk rakaat kelima.


Dua puloh minit sudah berlalu. Saya masih mengimamkan solat ‘maghrib’. Di luar pagar rumah jumlah penduduk kampong yang berkumpul sudah makin ramai. Kini sudah ada sekitar tiga puloh orang kampong berada di luar pagar memerhatikan kami. Agak riuh sedikit ketika itu. Saya terpaksa menguatkan lagi bacaan fatihah dan surah-surah lazim yang saya baca pada setiap rakaat bagi mengelak tiga lelaki penagih dadah itu rasa terancam dengan keriuhan dan kehadiran ramai orang di luar pagar ketika itu. Saya sendiri sebenarnya sudah lupa berapa rakaat sebenarnya telah saya buat untuk solat ‘maghrib’ itu. Rakaat terakhir yang saya ingat ilah rakaat kelima sahaja.


Saya meneruskan solat ‘maghrib’ itu lagi.


Ketika sujud akhir saya terdengar suara nyaring cucu pakcik tua tadi bertanyakan soalan pada datuknya.


“Tok ayoh! Demo tu solat ghapo!?”

“Tak ayoh pun tak tha’hu”

“Kalau suboh 2 raka’ak, zohor dan asar 4 rakaak, maghrib 3 raka’ak. Tapi hok ni, doh 9 raka’ak”

“Tok ayoh pun tak tha’hu. Pening jugok tak ayoh dok mikir ni”

Baru saya tahu sekarang. Sebenarnya saya sudah mengimamkan solat ‘magrib’ 9 rakaat.

Ini telah menjadi SEJARAH

Tiada ulasan: