06 September 2007

Pengalaman Bersalin

Sebenarnya citer nie aku nak hantar pada satu majalah, ntah kenapa tak terhantar pulak rasayer....citer nie aku tulis pada 30 Mei 2005...dah 2 tahun citer nie terperap...

Mengandung dan melahirkan adalah fitrah bagi kaum wanita seperti aku. Aku juga tidak terkecuali merasa mengandung dan melahirkan zuriatku bersama suami tercinta. 3 Bulan setelah diijabkabulkan dengan suami, aku disahkan hamil 4 minggu. Alhamdulillah aku tidak mengalami sebarang alahan. Semasa hamil aku kuat makan sehingga berat badan aku naik mendadak ketika usia kandungan mencecah angka 6 bulan. Dalam tempoh sebulan berat badanku naik 5 kg. Aku dikhuatiri menghidap darah tinggi dan kencing manis. Doktor memeriksa tekanan darah dan urin nyata aku bebas daripada kedua-dua penyakit tersebut.

Sebenarnya aku dijangka akan bersalin pada 20 Julai 2002(Jumaat). Namun tiba saatnya aku tidak juga bersalin, hatiku mula berdebar. Aku dan suami sudah berbincang kalau boleh biarlah sakit bersalin semulajadi maksudnya tanpa di ‘induce’. Doktor memberi tempoh seminggu lagi kepada aku, jika aku tidak juga bersalin dalam tempoh diberi aku akan di‘induce’. Tiba tempoh seminggu aku tidak juga bersalin. Gelisah hati usah dikira berdebar-debar, takut dan macam-macam rasa ada. Pada 27 Julai 2002 aku membuat pemeriksaan susulan, semasa dalam perjalanan ke hospital aku sempat berkata pada suami “nanti kalau tak kena tahan kat wad bolehlah kita pergi subang makan satay.” Sampai di hospital, Doktor memeriksa pintu rahim aku walaupun aku tidak rasa sakit disusuli pula pemeriksaan denyutan nadi dan jantung (CTG) bayi aku. Doktor mengatakan pintu rahimku baru terbuka 2 cm Denyutan nadi serta jantung bayiku pula tidak stabil, dan aku ditahan diwad. Nampaknya tak sampailah hajat aku nak makan satay di subang. Lantas aku hubungi mak untuk memaklumkan padanya bahawa aku terpaksa ditahan diwad, mak aku menangis risau kerana sepatutnya mak aku ikut ke hospital, tapi mak terpaksa mengemas rumah sebab nak menyambut cucu baru.

Pada malam tersebut ubat telah dimasukkan kedalam rahimku untuk membuka pintu rahim. Pada pagi 28 Julai 2002 jam 8.00 pagi aku telah diarahkan supaya pergi ke bilik bersalin. Suami menghubungi Mak dan bapa mertuaku, mereka bergegas mencari kereta sehingga nasi yang ditanak hangit sebab risau akan keadaanku. Jauh juga perjalanan mereka dari Tapah, Perak ke Klang sampaikan mereka sesat di Bandar Klang sebab tidak biasa keadaan disana.


Sekali lagi ubat dimasukkan kedalam rahim aku dan air ketuban dipecahkan. Setengah jam kemudian ubat tersebut mula memberikan kesan. Sakit setiap 15 minit sekali mula terasa. Suami yang kutunggu supaya menemani aku ketika proses kelahiran tidak kelihatan. Tiba-tiba suami ku muncul disisi. Aku bertanya mengapa lambat, sambil tersenyum suami ku berkata “abang takutlah”. Aku tersenyum melihatnya.

Aku sudah tidak tertahan menanggung sakit, setiap kali sakit perut aku mengeras. Suami menyuruh aku beristigfar. Jururawat terpaksa menyuntik aku dengan ubat tahan sakit, selepas disuntik aku mula mengantuk. Tapi kesakitan tak juga berkurangan. Malah aku sentiasa memanggil jururawat yang bertugas dan bertanya “ nurse bila lagi saya nak bersalin nie, saya dah tak tahan”. Jururawat itu hanya tersenyum sambil menyuruh aku bersabar dan mengajar aku teknik yang betul untuk bernafas supaya dapat mengurangkan kesakitan. Yang peliknya walaupun sakit yang teramat sangat aku tak boleh pulak menangis malah setitik air mata pun tak mampu aku keluarkan, beza sungguh bila mengalami sakit yang lain air mata ku mudah benar mengalir. Masa aku berada dalam bilik bersalin aku tidak keseorangan sebab ada 2 pesakit yang menunggu masa untuk bersalin juga, sudahlah aku menahan sakit, bila mendengar jeritan pesakit disebelah berpeluh-peluh aku dibuatnya. Dalam hatiku berkata-kata ‘macam ini ke orang yang nak bersalin, seramnya’.

Setelah hampir 4 jam setengah aku menahan sakit, Doktor menyuruh aku meneran, aku kumpulkan seluruh tenaga aku untuk meneran sehinggakan pada satu tahap aku boleh terlelap kerana kesan ubat tahan sakit yang aku terima. Walhal kepala bayi ku sudah sampai dipintu rahim dan kesannya kepala anakku seperti bayi yang kena vacuum .Suami mengongcang tubuh aku, doktor pula memberi amaran supaya aku tidak tertidur semasa meneran kerana khuatir bayi aku akan lemas.

Pada jam 12.57 tengah hari 28 Julai 2002 aku selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.1kg. Alhamdulillah Aku dan bayi ku selamat. Maha kuasa Tuhan sakit yang aku alami sebelum bersalin hilang serta-merta setelah anakku dilahirkan sedikit sakit pun tidak aku rasakan kecuali badan yang terlalu letih. Suami hampir menitiskan air mata bila melihat zuriatnya lahir sekaligus diberi peluang menyaksikan kebesaran tuhan betapa sukar dan azabnya seorang ibu hendak melahirkan anak. Sampai sekarang suami masih teringat dan adakalanya peristiwa tersebut menjadi gurauan kami berdua.

Tujuh bulan kemudian aku disahkan mengandung lagi. Berlainan pula cerita anak kedua aku, lahir cepat 2 minggu dari tarikh jangkaan iaitu pada hari ke 5 puasa tahun 2003(31/10/2003), sakit yang berterusan pada 30/10/2003 tapi tiada tanda yang keluar hanya sakit perut seperti senggugut, memikirkan banyaknya puasa yang akan diganti, aku tahan sakit sepanjang hari, selepas berbuka baru ku ‘packing’ keperluan masuk hospital dan suami terus memandu ke Hospital, sampai di Hospital bukaan dah hampir 3 cm dan aku terus ditahan diwad. Satu malam aku diwad tiada tanda2 sakitku makin kuat, jururawat datang memeriksa dan mendapati kepala anak masih lagi diatas maknanya anak ku belum betul-betul nak keluar. Tapi kali ini aku sudah bersedia sebab sudah ada pengalaman, lagi pun jarak kelahiran kedua-dua anak aku tidak jauh sangat, jadi aku lebih tenang. Pada Jam 7.00pagi esoknya aku diarahkan masuk ke labour room dan air ketuban dipecahkan, kali nie baru ku rasa banyaknya air yang mengalir(anak pertama rasanya tak banyak air ketuban yang keluar) kejap-kejap jururawat datang tukar lapik. Anak kedua kurang sikit sakit siap boleh tidur lagi berbanding dengan anak pertama , tapi bila hampir waktu nak teran aku tak sanggup nak teran, sakitnya tuhan sahaja yang tahu. Akhirnya dengan sokongan daripada suami dan semangat yang tinggal sisa-sisa kugagahkan juga untuk terus meneran, alhamdullilah aku selamat melahirkan anak lelaki lagi seberat 2.95kg pada jam 1.15 petang. Pada kali nie dapatlah suami ku merasa sendiri memotong tali pusat anak kami(dengan keizinan doktor). Bersalin kali kedua nie, suamiku lebih ‘cool’ mungkin sebab dah ada pengalaman, jadi keresahan tu kurang sikit. Aku pula selepas bersalin anak kedua nie sakit perut macam nak bersalin lagi sekali, kata doktor ini berlaku kerana proses mengecutan rahim. Tapi rasanya aku tak serik nak bersalin lagi jika ada rezeki.

Lain anak lain ragam, lain pengalaman dan lain rasa sakitnya, walau apa pun aku kini bahagia dengan kehadiran kedua-dua anakku, walaupun penat sedikit, maklumlah dua-dua hero. Mohamad Azri dan Mohamad Fahmi Abah dan Ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian. Kalian adalah penyeri hidup Abah dan Ibu.
Aku mengucapkan terima kasih pada semua ahli keluarga diatas sokongan dan bantuan semasa aku berada didalam pantang juga tidak lupa pada doktor dan jururawat di Klinik Pakar Wanita Razif Norana, budi kalian akan dikenang.

Tiada ulasan: